Pendidikan Islam di Zaman Khulafa’ Al-Rasyidin

Oleh: Mohammad Syukor Mohammad Ghulam

ABSTRACT

Khulafa’ Al-Rasyidin were good companies of Rasullullah s.a.w. who inherited his traits. They were not only took over the throne of Islam after Rasulullah s.a.w., but they also continued his efforts in spreading Islam and arranged the Islamic educational systems brought by Rasulullah s.a.w. Therefore, Islamic educational systems during the years of Khulafa’ Al-Rasyidin will be thoroughly discussed in this article. It includes its objectives, contents, syllabus, educational resources and institutions and teachers.

ABSTRAK

Khulafa’ Al-Rasyidin merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. yang mewarisi risalah baginda. Mereka bukan sahaja mewarisi pemerintahan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah, bahkan meneruskan segala usaha baginda di dalam menyebarkan Islam serta menyusun sistem pendidikan Islam yang dibawa oleh baginda. Oleh itu, system pendidikan Islam semasa zaman Khulafa’ Al-Rasyidin akan dibincangkan di dalam kertas ini. Ianya mengandungi ibjektif, isi kandungan, sukatan  pelajaran, sumber-sumber dan institusi-institusi pendidikan serta golongan tenaga pengajar.

1. Pengenalan

Pendidikan berperanan penting dalam membina tamadun manusia. Menerusi pendidikan, lahir para pemikir dan pelaksana yang membina dan mengembangkan tamadun. Tamadun satu bangsa tidak akan wujud seandainya sistem pendidikannya tidak mampu membina cendiakawan yang dapat menghasilkan pemikiran asli yang bernas untuk membina bangsanya. Sesuatu bangsa tidak akan maju sekiranya rakyatnya hanya bergantung kepada sistem pendidikan asing yang dipinjam dari luar. Oleh itu untuk membina tamadun bangsa melalui pendidikan, memerlukan pemikiran dan penilaian semula terhadap seluruh aspek pendidikan yang ada agar benar-benar sesuai berteraskan kehidupan dan budaya kita (Tajul Ariffin Noordin 1993).

Pendidikan Islam zaman Khulafa al-Rasyidin mewarisi pendidikan yang dicetus oleh Rasulullah s.a.w bermula dengan penurunan wahyu pertama di Gua Hira’. Penulis berpendapat sistem Talaqqi Musyafahah yang digambarkan melalui cara Rasulullah menerima sumber wahyu daripada Jibril merupakan permulaan salah satu sistem pendidikan Islam yang cukup ideal untuk dipraktikkan dalam dunia pendidikan masa kini. Rasulullah mengajar al-Quran itu kepada para sahabat dan sahabat pula mengajarkan kepada para tabiin sehinggalah kepada kita hari ini mengunakan cara yang sama yang telah digunakan oleh Jibril kepada Rasulullah iaitu secara Talaqqi dan Musyafahah ( Abdul Halim 1987; Norasikin Fabil et al. 2005;  Kementerian Pelajaran Malaysia 2008).

Sistem Pendidikan zaman Rasulullah telah diwarisi oleh para sahabat dan seterusnya diperkembangkan mengikut zaman berdasarkan kecekapan dan kreativiti pemerintahan khalifah masing-masing. Justeru, penulis akan mengupas perbahasan ini dengan lebih lanjut mengenai pendidikan Islam di zaman Khulafa al-Rasyidin.

2. Definisi Pendidikan

Dalam perbahasan mengenai definisi pendidikan, penulis mengutarakan beberapa pandangan sarjana. Anwar Ibrahim (1986) menyatakan, pendidikan itu bukan hanya untuk menimba ilmu pengetahuan tetapi untuk membentuk insan yang baik, penuh dengan adab sopan dan berakhlak tinggi kerana ilmu pengetahuan tanpa disiplin dan moral bukanlah ilmu dalam ertikata yang sebenarnya (Tajul Ariffin Noordin 1993).

Tajul Ariffin Noordin (1993) pula mendefinisikan pendidikan sebagai ilmu yang menyeluruh dan bersepadu sifatnya. Proses perlaksanaannya memerlukan kelembutan dan kebijaksanaan yang tinggi. Menerusi konsep pendidikan perlulah dibina kesepaduan ilmu iaitu integrasi di antara ilmu pengetahuan menerusi akal dengan ilmu wayhu iaitu dari al-quran dan hadis

Manakala Abdul Rahman Abdullah (2007) berpendapat pendidikan ialah proses memasukkan sesuatu (ilmu) kepada manusia atau proses melatih dan membangun seluruh bakat dan potensi manusia dari segi jasad, akal dan emosi, yakni perkembangan individu manusia sepenuhnya.

Menerusi pendidikan dan pelajaran sahaja generasi muda pada hari ini dan masa depan dapat dipupuk, diasuh, agar mereka tumbuh membesar dan segera menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada Allah, dirinya, bangsanya dan negaranya. Matlamat pendidikan kita ialah untuk membentuk rakyat yang boleh menggunakan akalnya serta boleh berfikir ke tahap maksima yang mungkin. Dengan kebolehan ini adalah diharap mereka akan lebih bertanggungjawab (Tajul Ariffin Noordin 1993).

Natijahnya, penulis berpendapat pendidikan ialah proses membentuk diri seseorang manusia menjadi seorang yang berpekerti mulia dan berkualiti serta menghambakan diri kepada Allah. Ini selari dengan pandangan al-Jamali dan Al-Syaibani yang berpendapat pendidikan ialah membina atau membentuk keperibadian yang sempurna dalam berbagai aspek yang berhubung dengan jasmani, rohani, akal. akhlak, amalan dan sosial supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah bagi mendapatkan kebahagian dunia dan akhirat (Abdul Ghani 1984 & Abdullah Ishak 1995).

 

3. Definisi Pendidikan Islam

Pendidikan Islam tersimpan pelbagai falsafah dan matlamat yang murni. Para sarjana Islam mendefinisikan Pendidikan Islam dengan pelbagai pandangan. Menurut Mohd Athiyah Al-Abrasyi,

“Pendidikan moden sekarang ini memerlukan amat pendidikan Islam iaitu pendidikan idealis yang bersifat kerohanian, moral dan keagamaan hingga kita belajar itu adalah kerana ilmu dan kelazatan ilmiah, dengan demikian kita terlepas dari keruntukan, kejahatan dan kemiskinan, keserakahan, penjajahan dan keangkara-murkaan serta peperangan-peperangan dengan segala bencana yang ditimbulkannya demi untuk dapat menikmati suatu kehidupan yang abadi, hidup bersama saling bantu membantu dan dalam suasana demokrasi dan bahagia”

 (Tajul Ariffin Noordin 1993)

Pandangan Mohd Athiyah Al-Abrasyi ini, diperluaskan lagi skop definisinya oleh Abdul Halim El-Muhammady (1987, 1994) dan Ahmad Fauzi & Ahmad Tarmizi (1998) yang merumuskan Pendidikan Islam merupakan proses mendidik, membentuk serta melatih individu manusia dalam berbagai-bagai aspek sama ada akal, rohani, emosi dan fizikalnya berasaskan sumber wahyu, al-Quran dan Sunnah serta sumber-sumber ijtihad lain untuk melahirkan manusia yang seimbang dan bertanggungjawab terhadap Allah, manusia dan alam semesta bagi memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Matlamat utama Pendidikan Islam ialah untuk melahirkan seorang muslim yang menjadikan Rasulullah sebagai contoh dan ikutan sebagai seorang yang berkualiti dan berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang dituntut oleh Islam. Skop pendidikan Islam ini amatlah komprehensif iaitu merangkumi pendidikan jasmani, aqli, akhlak dan rohani (Mohd Mokhtar Shafii 1994).

Tegasnya penulis berpandangan, Pendidikan Islam merupakan  satu proses atau operasi yang cukup teliti dan terancang dalam usaha mendidik seseorang insan berpandukan al-Quran dan Sunnah agar seimbang dalam segenap aspek pembangunan diri dan seterusnya mengamalkan akhlak mahmudah sesuai dengan fitrahnya sebagai khalifah di dunia.

Pendapat penulis disokong dengan pandangan Engku Ibrahim Ismail  yang berpendapat Pendidikan Islam lebih menekankan pembangunan individu bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga aspek rohani dan akhlak yang bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan kepada orang lain di samping menghindari akhlak buruk atau dengan konsep yang kini dikenal sebagai al-amru bi al-ma’ruf wa al-nahyu ’an al-munkar  (Abdullah Ishak 1995).

4. Pengenalan Ringkas Khulafa’ Al-Rasyidin

Zaman Khulafa’ al-Rasyidin dipimpin oleh empat orang sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Para Khulafa’ al-Rasyidin ialah orang-orang yang mewarisi risalah Rasulullah s.a.w.. Mereka menyambung usaha-usaha yang telah diatur dan disusun oleh baginda dengan mengikut segala jejak langkah yang telah ditunjuk baginda semasa hidupnya (Zawawi 1984).

            Abdullah Ishak (1995) menjelaskan pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin (11H/632M-41H/661M) yang diperintah oleh empat orang sahabat Rasulullah bukan sahaja bertindak sebagai Ulu al-Amr yang memelihara kestabilan dan keselamatan negara bahkan juga memberi penekanan terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam.

5.   Pendidikan Islam Di Zaman Khulafa’ Al-Rasyidin

Sistem pendidikan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin telah berkembang dengan baik. Ia memberi nafas baru bagi menyambung tradisi sistem pendidikan yang telah dilaksanakan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.. Pada zaman baginda, negara Islam berkembang meliputi Semenanjung Tanah Arab. Pendidikan hanya berpusat di kota Madinah tetapi perkembangan pendidikan semakin meluas dan berkembang pesat pada zaman Khulaa’ al-Rasyidin. Pusat pendidikan tersebar di bandar besar seperti bandar Madinah dan Makkah, Basrah dan Kufa, Damsyik dan Palestin dan Madrasah Fustat  (Mahayudin 1993).

Objektif Pendidikan

Menurut Zawawi (1984), objektif perdidikan Islam di zaman Rasulullah s.a.w. ialah untuk membentuk sahsiah Islamiyah yang tulin  yang dapat bangun berjuang bagi menegakkan Islam agama Allah yang suci. Manakala kandungan pendidikan Islam yang disampaikan bergantung kepada wahyu daripada Allah s.w.t..

Beliau menjelaskan lagi, dalam masa yang sama, para Khulafa’ al-Rasyidin, sahabat Rasulullah s.a.w. ialah orang-orang yang mewarisi risalah Rasulullah s.a.w., menyambung usaha-usaha yang telah diatur dan disusun oleh baginda dengan mengikut segala acuan yang telah dirintis baginda semasa hidupnya. Perkara ini dapat dilihat melalui proses perlantikan Khalifah al-Rasyidin ketiga, selepas kematian Khalifah Umar bin Al-Khattab, iaitu semasa dalam memilih antara dua orang calon khalifah iaitu Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf diamanahkan untuk mengendalikannya. Selepas beliau meminta pandangan dan pendapat daripada pihak-pihak tertentu seperti sahabat karib nabi dan ketua-ketua kabilah. Hasil tinjauan tersebut didapati ada yang menyokong Uthman dan ada juga yang menyokong Ali.

Akhirnya Abdul Rahman bin Auf pergi sendiri bertanya kepada Saidina Ali, katanya, ‘Jika sekiranya engkau dilantik menjadi khalifah, adakah engkau sanggup melaksanakan kesemua ajaran al-Quran dan Hadis, serta mengikut jejak dua orang khalifah sebelum kamu?’ Jawab Ali, ‘Aku harap aku boleh melakukannya di atas kadar kebolehan dan kemampuanku.’ Kemudian Abdul Rahman bin Auf pergi berjumpa pula Saidina Uthman dan mengemukakan pertanyaan yang serupa. Lantas Saidina Uthman bin Affan menjawab dengan jawapan yang pendek dan tegas, ‘Ia, aku sanggup.’ Dengan ketegasan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Uthman itu, maka Abdul Rahman bin Auf terus melantik Uthman bin Affan sebagai khalifah yang baru (Mahayudin Yahaya & Ahmad Jelani Halimi 1993).

Ini bererti, menjadi prasyarat sebelum seseorang yang menjadi calon Khalifah Islam ialah melaksanakan ajaran al-Quran dan As-Sunnah serta meneruskan segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Khalifah sebelum mereka. Oleh sebab itu, objektif pengajaran Pendidikan Islam di zaman Khulafa’ Al-Rasyidin juga sama dengan objektif pengajaran di zaman Rasulullah s.a.w. iaitu membentuk sahsiah Islamiyah yang tulin untuk menegakkan Islam sebagai agama Allah yang suci.

Isi kandungan / sukatan pelajaran pendidikan islam

Isi kandungan pelajaran pendidikan Islam di zaman Khulafa’ Al-Rasyidin adalah sama dengan isi kandungan yang terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w. iaitu wahyu dari Allah (al-Quran). Walau bagaimanapun, pada zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin, isi kandungan pelajaran pendidikan Islam telah bertambah dengan adanya perubahan zaman dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam ketika itu.

Selain ilmu al-Quran dan As-Sunnah (hadis), pertambahan ilmu yang ada ketika zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang berkaitan ilmu Islam ialah tafsir al-Quran, Tauhid, Fekah, Ilmu Mantiq, Bahasa Arab, sajak, syair yang berunsur pendidikan, Ilmu Fizikal seperti memanah, menunggang kuda, bermain pedang dan ilmu mempertahankan diri untuk menegakkan dan menyebarkan Islam serta menghafaz dan mengingat beberapa surah.

Menurut Norliyana (2007) pelajaran yang dijadikan tumpuan utama ialah tauhid, fekah, hadis, Al-Quran, dan Ilmu Mantiq. Khalifah Umar menggalakkan umat Islam belajar Bahasa Arab, penghasilan sajak dan syair yang berunsur pendidikan. Mata pelajaran yang belum ada di zaman Khulafa’ al-Rasyidin ialah ilmu hadis, sejarah, ilmu alam, ilmu pendidikan, karangan, ilmu sains, kimia dan perubatan kerana ia wujud di zaman Umaiyah (Suffian Abdul Rahman 1983).

Sumber Pendidikan Islam

Menurut Mahmood Zuhdi (1992) sumber pendidikan Islam dari zaman Rasulullah hingga zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. ialah Al-Quran, As-Sunnah dan Ijtihad para sahabat Rasulullah s.a.w.. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal ketika Muaz diutuskan ke Yaman jelas menunjukkan penggunaan sumber tersebut digunakan:

Sabda Rasullullah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal ketika baginda mengutus beliau ke Yaman. Baginda bertanya kepada Muaz: “Dengan apa engkau berhukum?” Jawabnya “dengan kitab Allah?” Sabda baginda: “ Jika engkau tidak menjumpainya (dalam al-Quran)? Jawab Muaz :  Dengan sunnah Rasulullah saw,” Sabda baginda: “ Jika engkau tidak juga menjumpainya? Jawab Muaz: “ Aku berijtihad dengan pendapatku.” Maka rasulullah s.a.w menepuk dada Muaz dan bersabda: “ Segala puji dan puja hanya bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah dalam perkara yang diredai oleh Rasulullah.

(Riwayat al-Tarmizi)

Berdasarkan hadis tersebut, penulis melihat  sumber pendidikan Islam pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. menggunakan al-Quran, As-Sunnah dan Ijtihad para sahabat Rasulullah s.a.w. Ini dapat kita lihat bagaimana Khalifah Abu Bakar yang menggunakan ijtihad beliau di dalam membukukan mashaf al-Quran kerana Rasulullah tidak pernah mengarahkan untuk membukukan al-Quran.

Seterusnya pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab sumber pendidikan Islam telah bertambah iaitu dengan menerima ilmu dan tamadun dari sumber luar yang tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah terutama ilmu dan tamadun dari wilayah-wilayah kekuasaan Islam terutama tamadun dari Parsi. Perkara ini berterusan sehingga ke zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Thalib r.a.

 

Institusi Masjid

Masjid  adalah tempat ibadat dijadikan sebagai institusi pendidikan yang kedua dalam dunia Islam selepas rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Masjid didirikan di setiap wilayah yang ditakluki sebagai pusat pendidikan dan tempat ibadah muslim (Abdullah Ishak 1995 & Hassan Langgulung 1996).

Masjid juga memainkan peranan penting dalam pembentukan perpaduan ummah. Ini diakui oleh Al Buti (1997) yang berpendapat masjid itu asas pertama dan utama ke arah pembentukan masyarakat Islam kerana dengan masjid itulah masyarakat Islam dapat mengambil suntikan pelalian (immunity) dan kekuatan dengan mengikut dan mematuhi segala sistem Islam, akidah dan peradabannya.

Peranan masjid diperluaskan lagi dimana  pada zaman Rasulullah dan para sahabat, masjid berfungsi sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan di samping fungsi-fungsi lain seperti pusat kegiatan kesusasteraan dan persuratan Islam, pusat kegiatan sosial, tempat perisytiharan, tempat keadilan dah kehakiman, penggerak Baitul Mal negara serta tempat para musafir bermalam (Mohd Mokhtar 2003).

Penggunaan masjid sebagai institusi pendidikan selain daripada tempat untuk melakukan aktiviti-aktiviti ibadah khusus adalah bersesuaian dengan inspirasi akhlak dan kemasyarakatan umat Islam. Seiring dengan tersebarnya agama Islam dan perluasan wilayahnya selepas kewafatan Rasulullah, institusi masjid juga berkembang pesat sebagai pusat pendidikan (Nasruddin Yunos & Mohamad Taha 2003)

Tegasnya, penulis melihat pada zaman khulafa al-Rasyidin masjid memainkan peranan penting sebagai institusi peribadatan, pendidikan, sosial, penghakiman dan pelbagai aktiviti yang memberikan  kemudahan kepada umat Islam. Melalui amalan pengibadatan dan pendidikan yang dijalakan di masjid, ramai cendiakawan Islam dan ulama telah dapat dilahirkan. Ini bersesuaian dengan pandangan Haron Din (2007) yang berpendapat masjid menjadi insitusi pengajian yang melahirkan cerdik pandai Islam dalam setiap bidang kehidupan dan tempat menyemai dan menyuburkan iman.

 

Institusi Suffah

Menurut Shalaby (1976), Suffah ialah ruang atau bangunan yang dibina bersambung dengan masjid. Institusi Suffah berperanan sebagai sebuah sekolah kerana aktiviti pengajaran dijalankan secara sistematik dan teratur. Antara masjid yang mempunyai institusi Suffah ialah Masjid Nabawi di Madinah.

Pandangan Shalaby ini disokong oleh Abdullah Ishak (1995) yang berpendapat al-Suffah dapat dianggap sebagai sekolah atau madrasah berbentuk formal yang terulung dalam pendidikan Islam.

Institusi Kuttab

Menurut Shalaby (1976) dan Rosnani Hashim (1988), orang-orang Arab telah menubuhkan Institusi Kuttab sejak sebelum kedatangan Islam lagi dengan tujuan sebagai pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat rendah iaitu kemahiran asas seperti membaca dan menulis. Biasanya kuttab ini dibina bersampingan dengan masjid atau surau. Kebanyakkan guru yang mengajar di institusi Kuttab mengajar secara sukarela. Walau bagaimanapun, institusi tersebut tidak mendapat perhatian masyarakat Jahiliyah Arab dengan bilangan pelajar lebih kurang 17 orang.

Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, Kuttab lebih berfungsi sebagai institusi pendidikan sampingan bagi masjid setelah di dapati masjid terlalu ramai pelajar. Kanak-kanak dan orang yang baru masuk Islam diajar di institusi tersebut. Pada waktu pagi, kanak-kanak membaca dan menghafaz al-Quran. Manakala pada waktu tengahari mereka belajar menulis, belajar solat bahasa dan sastera Arab. Pelajaran yang diajar pada peringkat kuttab ialah belajar membaca dan menulis, membaca al-quran dan menghafalnya serta belajar asas agama islam seperti cara berwuduk, sembahyangh, puasa dan sebagainya (Mahayudin 2005).

Justeru, penulis melihat institusi dan perkembangan pendidikan melalui kuttab ini terdapat persamaan dengan pelaksanaan kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang terdapat di negara kita sekarang ini dari sudut umur murid yang memasuki institusi tersebut. Penubuhan KAFA adalah bermatlamatkan membasmi buta Al-Quran dan menguasai asas-asas Fardhu Ain bagi kanak-kanak Muslim berumur 7 hingga 12 tahun.

Golongan guru

Guru yang mengajar Pendidikan Islam di zaman khulafa’ al-Rasyidin merupakan guru-guru yang pakar mengikut bidang masing-masing. Umar sendiri mengajar ilmu hadis di Masjid Madinah dan menggalakkan dan membenarkan hanya orang yang pandai dan berkebolehan untuk mengajar hadis bagi mengelakkan bercampur antara hadis yang tulen dengan hadis palsu  (Suffian Abdul Rahman 1983). Khalifah Umar juga menggalakkan umat Islam membuat kajian tentang Al-Quran dan Hadis (Norliyana 2007).

Tugas muallim atau guru yang dilantik ialah untuk membimbing pelajar membaca, menulis dan memahami isi Al-Quran. Para muallim tersebut diberi ganjaran. Umar juga telah melantik golongan pakar dalam bidang al-Quran seperti pengkaji hadis dan perundangan Islam (Mohd Rashad 2006). Ulama dan muballigh dihantar ke seluruh wilayah kekuasaan Islam seperti Abdullah bin Mas’ud ke Kufah (Shibli 1981). Ramai juga guru-guru dihantar ke wilayah-wilayah kekuasaan Islam yang baru (Norliyana 2007).

7. Rumusan

Pendidikan Islam pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin merupakan kesinambungan agenda pendidikan yang telah diletak acuannya oleh Rasulullah sendiri. Pendidikan Islam pada zaman Khulafa’ al Rasyidin dilaksanakan mengikut kredibiliti dan kebijaksanaan pemerintah ketika itu.

Sumber pendidikan yang menjadi rujukan utama pemerintahan, kekal berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah serta Ijtihad para sahabat. Sumber-sumber ini menjadi paksi kepada usaha memartabatkan pendidikan Islam. Keempat-empat tokoh sahabat yang ulung ini telah berjaya memartabatkan pendidikan di landasan yang cukup tinggi dan unggul di dalam pemerintahan masing-masing. Kesinambungan kejayaan mereka telah berkembang pesat dan berlanjutan sehingga ke hari ini.

Pendidikan di zaman Khulafa’ al-Rasyidin dijalankan secara sistematik dan teratur, mempunyai objektif, isi kandungan dan sukatan pelajaran, sumber pendidikan serta mempunyai institusi pendidikan yang tersendiri. Pergolakan politik yang terjadi di zaman tersebut tidak menjejaskan perkembangan ilmu dan pendidikan Islam. Bahkan menjadikan pendidikan Islam semakin mantap kerana setiap masalah yang timbul dapat  diatasi dengan sempurna dan jayanya. Ini menjadikan pendidikan Islam semakin matang setelah mengharungi cabaran yang dilalui.

Aktiviti pendidikan yang telah dilaksanakan telah merintis kepada kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu dan pendidikan yang memberi sumbangan yang cukup besar dan bernilai kepada umat Islam. Sehubungan dengan itu setiap ummah perlu menjadikan acuan pendidikan dan aktiviti pendidikan yang telah diletak asasnya oleh khulafa’ al Rasyidin ini sebagai contoh dan model ikutan bagi menjadikan kita sebagai umat yang cemerlang.

 

 

Rujukan

Abdul Ghani Hj. Shamsuddin. 1984. Pendidikan Ruhaniyyat, Jurnal Pendidikan Islam 1(1):1-9.

Abdul Halim Muhammady. 1987. Pendidikan Al-Quran di Sekolah Rendah dan Menengah ke Arah Pembentukan Pandangan Hidup Muslim, Jurnal Pendidikan Islam 2(5):29-43.

Abdul Halim Muhammady. 1994. Pendidikan Islam Di Malaysia, Jurnal Pendidikan Islam 7(2):155-163.

Abdul Rahman Abdullah. 2007. Sejarah Dan Tamadun Islam. Pustaka Darussalam Sdn. Bhd.:Kedah.

Abdullah Ishak. 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Fauzi Hj. Morad & Ahmad Tarmizi Talib. 1998. Tamadun Islam. Kuala Lumpur :Mas’adah (M) Sdn. Bhd.

Ahmad Shalaby. 1976. Sejarah Pendidikan Islam. Terj. H Muchtar Jahja & M Sanusi Latief. Singapura:Pustaka Nasonal.

Haron Din. 2007. Islam Rujukan Efektif Akhlak Mulia. Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Hassan Langgulung. 1996.  Pengenalan Tamaddun Islam dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2008. Buku Panduan Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran.

Mahayudin Yahaya & Ahmad Jelani Halimi. 1993. Siri Sejarah Fajar Bakti. Sejarah Islam. Kuala Lumpur:Penerbit Fajar Bakti.

Mahmood Zuhdi. 1992. Sejarah Pembinaan Hukum Islam. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.

Mohd Mokhtar b. Shafii. 2003. Masjid Sebagai Pusat Pendidikan  dan Penjanaan Ummat Cemerlang. Jurnal Pendidikan Islam. 10(3) 41-56.

Muhammad Sa’id Ramadan Al Buti. 1997. Fiqh Al-Sirah 2. Terj. Mohd Darus Sanawi. Selangor: Dewan Pustaka Fajar.

Nasruddin Yunos & Mohamad Taha. 2003. Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia “A”. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Norasikin Fabil, Zawawi Ismail, Zarina Shukur, Siti Fadzillah Mat Noor & Khairuddin Omar. 2005. Aplikasi Pendekatan Talaqqi dan Musyafahah dalam Pembangunan Perisian Multimedia Tajwid. Al-Bayan Journal of Al-Hadith.  3: 83-108.

Norliyana. 2007. Pemerintahan Khalifah Umar Bin Al-Khattab dan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz : Persamaan dan Perbezaan. Projek Ilmiyah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rosnani Hashim. 1988. Pendidikan Pra Sekolah Islam. Jurnal Pendidikan Islam  2 (8):11-27.

Suffian Abdul Rahman. 1983. Dlm. Norliyana. 2007. Pemerintahan Khalifah Umar Bin Al-Khattab Dan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz : Persamaan Dan Perbezaan. Projek Ilmiyah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tajul Ariffin Noordin. 1993. Pendidikan Suatu Pemikiran Semula. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Zawawi bin Ahmad. 1984. Struktur Pendidikan Islam. Jurnal Pendidikan Islam.1(1): 41-51.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s